SEBAHAGIAN DARIPADA TANDA BERSANDAR KEPADA AMAL (PERBUATAN ZAHIR) ADALAH BERKURANGAN HARAPANNYA (SUASANA HATI) TATKALA BERLAKU PADANYA KESALAHAN.
Imam Ibnu Athaillah memulai Kalam Hikmat beliau dengan mengajak kita merenung kepada hakikat amal. Amal boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu perbuatan zahir dan perbuatan hati atau suasana hati berhubung dengan perbuatan zahir itu. Beberapa orang boleh melakukan perbuatan zahir yang serupa tetapi suasana hati berhubung dengan perbuatan zahir itu tidak serupa. Kesan amalan zahir kepada hati berbeza antara seorang dengan seorang yang lain. Jika amalan zahir itu mempengaruhi suasana hati, maka hati itu dikatakan bersandar kepada amalan zahir. Jika hati dipengaruhi juga oleh amalan hati, maka hati itu dikatakan bersandar juga kepada amal, sekalipun ianya amalan batin. Hati yang bebas daripada bersandar kepada amal sama ada amal zahir atau amal batin adalah hati yang menghadap kepada Allah s.w.t dan meletakkan pergantungan kepada-Nya tanpa membawa sebarang amal, zahir atau batin, serta menyerah sepenuhnya kepada Allah s.w.t tanpa sebarang takwil atau tuntutan. Hati yang demikian tidak menjadikan amalnya, zahir dan batin, walau berapa banyak sekalipun, sebagai alat untuk tawar menawar dengan Tuhan bagi mendapatkan sesuatu. Amalan tidak menjadi perantaraan di antaranya dengan Tuhannya. Orang yang seperti ini tidak membataskan kekuasaan dan kemurahan Tuhan untuk tunduk kepada perbuatan manusia. Allah s.w.t Yang Maha Berdiri Dengan Sendiri berbuat sesuatu menurut kehendak-Nya tanpa dipengaruhi oleh sesiapa dan sesuatu. Apa sahaja yang mengenai Allah s.w.t adalah mutlak, tiada had, sempadan dan perbatasan. Oleh kerana itu orang arif tidak menjadikan amalan sebagai sempadan yang mengongkong ketuhanan Allah s.w.t atau ‘memaksa’ Allah s.w.t berbuat sesuatu menurut perbuatan makhluk. Perbuatan Allah s.w.t berada di hadapan dan perbuatan makhluk di belakang. Tidak pernah terjadi Allah s.w.t mengikuti perkataan dan perbuatan seseorang atau sesuatu.Sebelum menjadi seorang yang arif, hati manusia memang berhubung rapat dengan amalan dirinya, baik yang zahir mahu pun yang batin. Manusia yang kuat bersandar kepada amalan zahir adalah mereka yang mencari faedah keduniaan dan mereka yang kuat bersandar kepada amalan batin adalah yang mencari faedah akhirat. Kedua-dua jenis manusia tersebut berkepercayaan bahawa amalannya menentukan apa yang mereka akan perolehi baik di dunia dan juga di akhirat. Kepercayaan yang demikian kadang-kadang membuat manusia hilang atau kurang pergantungan dengan Tuhan. Pergantungan mereka hanyalah kepada amalan semata-mata ataupun jika mereka bergantung kepada Allah s.w.t, pergantungan itu bercampur dengan keraguan. Seseorang manusia boleh memeriksa diri sendiri apakah kuat atau lemah pergantungannya kepada Allah s.w.t. Kalam Hikmat 1 yang dikeluarkan oleh Ibnu Athaillah memberi petunjuk mengenainya. Lihatlah kepada hati apabila kita terperosok ke dalam perbuatan maksiat atau dosa. Jika kesalahan yang demikian membuat kita berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah s.w.t itu tandanya pergantungan kita kepada-Nya sangat lemah. Firman-Nya:
“Wahai anak-anakku!
Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin),
dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah.
Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah melainkan
kaum yang kafir ”. ( Ayat 87 : Surah Yusuf )
Ayat di atas menceritakan bahawa
orang yang beriman kepada Allah s.w.t meletakkan pergantungan kepada-Nya walau
dalam keadaan bagaimana sekali pun. Pergantungan kepada Allah s.w.t membuat
hati tidak berputus asa dalam menghadapi dugaan hidup. Kadang-kadang apa yang
diingini, dirancangkan dan diusahakan tidak mendatangkan hasil yang diharapkan.
Kegagalan mendapatkan sesuatu yang diingini bukan bermakna tidak menerima
pemberian Allah s.w.t. Selagi seseorang itu beriman dan bergantung kepada-Nya
selagi itulah Dia melimpahkan rahmat-Nya. Kegagalan memperolehi apa yang
dihajatkan bukan bermakna tidak mendapat rahmat Allah s.w.t. Apa juga yang
Allah s.w.t lakukan kepada orang yang beriman pasti terdapat rahmat-Nya,
walaupun dalam soal tidak menyampaikan hajatnya. Keyakinan terhadap yang
demikian menjadikan orang yang beriman tabah menghadapi ujian hidup, tidak
sekali-kali berputus asa. Mereka yakin bahawa apabila mereka sandarkan segala
perkara kepada Allah s.w.t, maka apa juga amal kebaikan yang mereka lakukan
tidak akan menjadi sia-sia.
Orang yang tidak beriman kepada
Allah s.w.t berada dalam situasi yang berbeza. Pergantungan mereka hanya
tertuju kepada amalan mereka, yang terkandung di dalamnya ilmu dan usaha.
Apabila mereka mengadakan sesuatu usaha berdasarkan kebolehan dan pengetahuan
yang mereka ada, mereka mengharapkan akan mendapat hasil yang setimpal. Jika
ilmu dan usaha (termasuklah pertolongan orang lain) gagal mendatangkan hasil,
mereka tidak mempunyai tempat bersandar lagi. Jadilah mereka orang yang
berputus asa. Mereka tidak dapat melihat hikmat kebijaksanaan Allah s.w.t
mengatur perjalanan takdir dan mereka tidak mendapat rahmat dari-Nya.
Jika orang kafir tidak bersandar
kepada Allah s.w.t dan mudah berputus asa, di kalangan sebahagian orang Islam
juga ada yang demikian, bergantung setakat mana sifatnya menyerupai sifat orang
kafir. Orang yang seperti ini melakukan amalan kerana kepentingan diri sendiri,
bukan kerana Allah s.w.t. Orang ini mungkin mengharapkan dengan amalannya itu
dia dapat mengecapi kemakmuran hidup di dunia.Dia mengharapkan semoga amal
kebajikan yang dilakukannya dapat mengeluarkan hasil dalam bentuk bertambah
rezekinya, kedudukannya atau pangkatnya, orang lain semakin menghormatinya dan
dia juga dihindarkan daripada bala penyakit, kemiskinan dan sebagainya.
Bertambah banyak amal kebaikan yang dilakukannya bertambah besarlah harapan dan
keyakinannya tentang kesejahteraan hidupnya.
Sebahagian kaum muslimin yang lain
mengaitkan amal kebaikan dengan kemuliaan hidup di akhirat. Mereka memandang
amal salih sebagai tiket untuk memasuki syurga, juga bagi menjauhkan azab api
neraka. Kerohanian orang yang bersandar kepada amal sangat lemah, terutamanya
mereka yang mencari keuntungan keduniaan dengan amal mereka. Mereka tidak tahan
menempuh ujian. Mereka mengharapkan perjalanan hidup mereka sentiasa selesa dan
segala-segalanya berjalan menurut apa yang dirancangkan. Apabila sesuatu itu
berlaku di luar jangkaan, mereka cepat naik panik dan gelisah. Bala bencana
membuat mereka merasakan yang merekalah manusia yang paling malang di atas muka
bumi ini. Bila berjaya memperoleh sesuatu kebaikan, mereka merasakan kejayaan
itu disebabkan kepandaian dan kebolehan mereka sendiri. Mereka mudah menjadi
ego serta suka menyombong.
Apabila rohani seseorang bertambah
teguh dia melihat amal itu sebagai jalan untuknya mendekatkan diri dengan
Tuhan. Hatinya tidak lagi cenderung kepada faedah duniawi dan ukhrawi tetapi
dia berharap untuk mendapatkan kurniaan Allah s.w.t seperti terbuka hijab-hijab
yang menutupi hatinya. Orang ini merasakan amalnya yang membawanya kepada
Tuhan. Dia sering mengaitkan pencapaiannya dalam bidang kerohanian dengan amal
yang banyak dilakukannya seperti berzikir, bersembahyang sunat, berpuasa dan
lain-lain. Bila dia tertinggal melakukan sesuatu amal yang biasa dilakukannya
atau bila dia tergelincir melakukan kesalahan maka dia berasa dijauhkan oleh
Tuhan. Inilah orang yang pada peringkat permulaan mendekatkan dirinya dengan
Tuhan melalui amalan tarekat tasauf.
Jadi, ada golongan yang bersandar
kepada amal semata-mata dan ada pula golongan yang bersandar kepada Tuhan
melalui amal. Kedua-dua golongan tersebut berpegang kepada keberkesanan amal
dalam mendapatkan sesuatu. Golongan pertama kuat berpegang kepada amal zahir,
iaitu perbuatan zahir yang dinamakan usaha atau ikhtiar. Jika mereka tersalah
memilih ikhtiar, hilanglah harapan mereka untuk mendapatkan apa yang mereka
hajatkan. Ahli tarekat yang masih diperingkat permulaan pula kuat bersandar
kepada amalan batin seperti sembahyang dan berzikir. Jika mereka tertinggal
melakukan sesuatu amalan yang biasa mereka lakukan, akan berkurangan harapan
mereka untuk mendapatkan anugerah dari Allah s.w.t. Sekiranya mereka
tergelincir melakukan dosa, akan putuslah harapan mereka untuk mendapatkan
anugerah Allah s.w.t.
Dalam perkara bersandar kepada amal
ini, termasuklah juga bersandar kepada ilmu, sama ada ilmu zahir atau ilmu
batin. Ilmu zahir adalah ilmu pentadbiran dan pengurusan sesuatu perkara
menurut kekuatan akal. Ilmu batin pula adalah ilmu yang menggunakan kekuatan
dalaman bagi menyampaikan hajat. Ia termasuklah penggunaan ayat-ayat al-Quran
dan jampi. Kebanyakan orang meletakkan keberkesanan kepada ayat, jampi dan
usaha, hinggakan mereka lupa kepada Allah s.w.t yang meletakkan keberkesanan
kepada tiap sesuatu itu.
Seterusnya, sekiranya Tuhan izinkan,
kerohanian seseorang meningkat kepada makam yang lebih tinggi. Nyata di dalam
hatinya maksud kalimat:
“Padahal Allah yang
mencipta kamu dan benda-benda yang kamu perbuat itu!” ( Ayat 96 : Surah as-
Saaffaat )
Orang yang di dalam makam ini tidak
lagi melihat kepada amalnya, walaupun banyak amal yang dilakukannya namun,
hatinya tetap melihat bahawa semua amalan tersebut adalah kurniaan Allah s.w.t
kepadanya. Jika tidak kerana taufik dan hidayat dari Allah s.w.t tentu tidak
ada amal kebaikan yang dapat dilakukannya. Allah s.w.t berfirman:
“Ini ialah dari limpah
kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak
mengenangkan nikmat pemberian-Nya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka
faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa
yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi masalah kepada Allah), kerana
sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah”. ( Ayat 40 : Surah
an-Naml )
Dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara yang dikehendaki-Nya). Ia memasukkan sesiapa yang kehendaki-Nya (menurut aturan yang ditetapkan) ke dalam rahmat-Nya (dengan ditempatkan-Nya di dalam syurga); dan orang-orang yang zalim, Ia menyediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. ( Ayat 30 & 31 : Surah al-Insaan )
Segala-galanya adalah kurniaan Allah
s.w.t dan menjadi milik-Nya. Orang ini melihat kepada takdir yang Allah s.w.t
tentukan, tidak terlihat olehnya keberkesanan perbuatan makhluk termasuklah
perbuatan dirinya sendiri. Makam ini dinamakan makam ariffin iaitu orang yang
mengenal Allah s.w.t. Golongan ini tidak lagi bersandar kepada amal namun,
merekalah yang paling kuat mengerjakan amal ibadat.
Orang yang masuk ke dalam lautan
takdir, reda dengan segala yang ditentukan Allah s.w.t, akan sentiasa tenang,
tidak berdukacita bila kehilangan atau ketiadaan sesuatu. Mereka tidak melihat
makhluk sebagai penyebab atau pengeluar kesan.
Di awal perjalanan menuju Allah
s.w.t, seseorang itu kuat beramal menurut tuntutan syariat. Dia melihat amalan
itu sebagai kenderaan yang boleh membawanya hampir dengan Allah s.w.t. Semakin
kuat dia beramal semakin besarlah harapannya untuk berjaya dalam perjalanannya.
Apabila dia mencapai satu tahap, pandangan mata hatinya terhadap amal mula
berubah. Dia tidak lagi melihat amalan sebagai alat atau penyebab. Pandangannya
beralih kepada kurniaan Allah s.w.t. Dia melihat semua amalannya adalah
kurniaan Allah s.w.t kepadanya dan kehampirannya dengan Allah s.w.t juga
kurniaan-Nya. Seterusnya terbuka hijab yang menutupi dirinya dan dia mengenali
dirinya dan mengenali Tuhannya. Dia melihat dirinya sangat lemah, hina, jahil,
serba kekurangan dan faqir. Tuhan adalah Maha Kaya, Berkuasa, Mulia, Bijaksana
dan Sempurna dalam segala segi. Bila dia sudah mengenali dirinya dan Tuhannya,
pandangan mata hatinya tertuju kepada Kudrat dan Iradat Allah s.w.t yang
menerajui segala sesuatu dalam alam maya ini. Jadilah dia seorang arif yang
sentiasa memandang kepada Allah s.w.t, berserah diri kepada-Nya, bergantung dan
berhajat kepada-Nya. Dia hanyalah hamba Allah s.w.t yang faqir.
Dikutip : Tamansufi.tripod.com






No comments:
Post a Comment